Kronologi Kes Jax Ponomarenko: Kanak-Kanak 5 Tahun Dibunuh Bapa Sendiri Selepas Mendakwa Mendengar Suara Misteri

 25 Mac 2021, Parma, Ohio, Amerika Syarikat. Seorang kanak-kanak autisme berusia lima tahun bernama Jax Ponomarenko kehilangan nyawanya dalam kejadian yang amat menyayat hati. Lebih mengejutkan, individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Jax bukan orang asing, tetapi bapa kandungnya sendiri, Matthew Ponomarenko.

Foto Jax memakai jaket merah. Foto dikeluarkan oleh pihak polis dan dipaparkan dalam laporan berita. Sumber: News 5 Cleveland

Pada pagi kejadian, nenek Jax menghantar kanak-kanak itu ke rumah bapanya di Russell Avenue. Menurut bapa saudara Jax, Jonathan Cherni, Jax kelihatan ceria dan berada dalam keadaan baik ketika dihantar. Jax merupakan kanak-kanak autisme yang menggunakan tablet untuk membantu dirinya berkomunikasi. Tiada siapa dalam keluarga menyangka bahawa hari tersebut merupakan kali terakhir mereka melihat Jax.

Rumah di Russell Avenue, Parma, tempat Jax ditemui meninggal dunia. Barangan penghormatan kelihatan di halaman. Sumber: News 5 Cleveland

Sekitar jam 2 petang, pihak polis menerima panggilan kecemasan 911 daripada Matthew sendiri. Dalam panggilan itu, lelaki berusia 31 tahun tersebut mengaku baru sahaja membunuh anaknya menggunakan kayu besbol. Matthew turut mendakwa bahawa dia mendengar suara-suara bisikkan dalam kepalanya sebelum melakukan perbuatan tersebut. Pengakuan mengerikan itu segera membawa anggota polis ke rumah berkenaan.

Apabila polis tiba, Matthew ditahan di halaman hadapan rumah. Di ruang tamu, anggota polis menemui Jax terbaring dengan kecederaan parah pada kepala dan wajah akibat dipukul berulang kali. Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan kematiannya berpunca daripada kecederaan tengkorak dan otak akibat hentakan objek tumpul.

Foto Matthew Ponomarenko, bapa kandung Jax yang mengaku bersalah membunuh anaknya. Sumber: True Crime News

Rakaman Matthew menghadiri prosiding awal mahkamah melalui sambungan video selepas ditahan. Sumber: News 5 Cleveland

Siasatan turut mendedahkan bahawa Matthew mempunyai sejarah masalah kesihatan mental. Menurut ahli keluarga, dia baru sahaja keluar daripada pusat rawatan kesihatan tingkah laku dan dilaporkan tidak mengambil ubatnya. Bagaimanapun, dakwaan bahawa dia mendengar suara-suara bisikkan bukanlah bukti bahawa keadaan mental tersebut menjadi punca pembunuhan. Pada 27 Julai 2021, Matthew didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk pembunuhan terancang dan penganiayaan kanak-kanak.

Keluarga dan masyarakat berkumpul di Veterans Memorial Park untuk memperingati Jax. Sumber: News 5 Cleveland

Selepas lebih dua tahun melalui proses mahkamah, pada 9 November 2023, Matthew akhirnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan pembunuhan terancang, penculikan dan penganiayaan kanak-kanak. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan kelayakan pertama memohon parol selepas 45 tahun. Matthew kemudian mencabar pengakuan bersalah dan hukumannya, namun pada 3 Oktober 2024, Mahkamah Rayuan Ohio mengekalkan keputusan tersebut.

Ikuti Kronologi Kes untuk lebih banyak kisah jenayah dan misteri yang lebih gelap daripada fiksyen.

Artikel ini berdasarkan laporan News 5 Cleveland dan Cleveland 19, kenyataan rasmi Pejabat Pendakwa Raya Cuyahoga County serta keputusan Mahkamah Rayuan Ohio bertarikh 3 Oktober 2024

Post a Comment

Previous Post Next Post