Pada 21 April 2003, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas pulang dari tempat kerja di Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat. Selama hampir 10 tahun, keluarganya tertanya-tanya adakah dia masih hidup. Tanpa mereka sedari, remaja itu sebenarnya dikurung di sebuah rumah yang terletak hanya beberapa kilometer dari lokasi kehilangannya.
Remaja tersebut ialah Amanda Berry, diculik sehari sebelum menyambut hari jadinya yang ke-17. Pada hari kejadian, Amanda baru sahaja menamatkan syif kerja di restoran Burger King apabila seorang lelaki bernama Ariel Castro, yang dikenali sebagai bapa kepada seorang rakannya, menawarkan untuk menghantar pulang. Castro kemudian memperdaya Amanda dengan singgah ke rumahnya dan mempelawa Amanda masuk dan mengatakan anak perempuannya berada di rumah. Sebaik sahaja Amanda melangkah masuk, dia tidak dibenarkan keluar.
Rumah beralamat 2207 Seymour Avenue itu sebenarnya sudah menjadi tempat kurungan seorang lagi wanita, Michelle Knight, yang diculik Castro pada Ogos 2002 ketika berusia 20 tahun. Pada 2 April 2004, Castro menculik mangsa ketiganya, Gina DeJesus, seorang pelajar berusia 14 tahun yang sedang berjalan pulang dari sekolah. Ketiga-tiga gadis itu kemudiannya menjadi tahanan Castro.
Sepanjang tempoh kurungan, Amanda, Michelle dan Gina mengalami penderaan fizikal, seksual serta psikologi. Mereka dikawal dengan ketat, diugut dan dihalang daripada mendapatkan bantuan. Sementara itu, keluarga mereka terus menjalankan usaha pencarian tanpa mengetahui bahawa ketiga-tiganya masih hidup. Pada Mac 2006, ibu Amanda, Louwana Miller, meninggal dunia selepas bertahun-tahun berusaha mencari anak perempuannya.
Pada 25 Disember 2006, Amanda melahirkan seorang bayi perempuan bernama Jocelyn ketika masih berada dalam kurungan. Michelle Knight membantu proses kelahiran tersebut tanpa kemudahan perubatan yang sewajarnya. Ujian DNA yang telah dilakukan pihak berkuasa mengesahkan bahawa Ariel Castro ialah bapa kandung Jocelyn.
Pada 6 Mei 2013, selepas hampir 10 tahun dikurung, peluang untuk melarikan diri akhirnya muncul. Ketika Castro meninggalkan rumah, Amanda mendapati pintu bahagian dalam tidak berkunci. Bagaimanapun, pintu keselamatan di bahagian luar masih menghalangnya keluar. Dia mula menjerit meminta pertolongan sehingga menarik perhatian jiran berhampiran. Beberapa jiran, termasuk Charles Ramsey, membantu membuka bahagian bawah pintu tersebut.
Amanda kemudian menggunakan telefon jiran untuk menghubungi talian kecemasan 911. Dalam panggilan itu, dia memperkenalkan dirinya sebagai Amanda Berry dan memberitahu operator bahawa dia telah diculik serta hilang selama 10 tahun, tetapi kini berjaya membebaskan diri. Polis segera bergegas ke rumah berkenaan dan menyelamatkan Michelle Knight serta Gina DeJesus yang masih berada di dalam. Penemuan tiga wanita yang hilang selama bertahun-tahun itu mengejutkan seluruh Amerika Syarikat.
Ariel Castro ditangkap pada hari yang sama. Pada 26 Julai 2013, dia mengaku bersalah terhadap 937 pertuduhan jenayah, termasuk penculikan, rogol, keganasan fizikal dan pembunuhan yang berkaitan dengan pengguguran kandungan secara paksa. Pada 1 Ogos 2013, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol, ditambah 1,000 tahun penjara. Rumah tempat ketiga-tiga mangsa dikurung turut dirobohkan pada 7 Ogos 2013.
Pada 3 September 2013, kira-kira sebulan selepas dijatuhi hukuman, ArielCastro ditemukan mati akibat bunuh diri di dalam sel penjara.
Amanda Berry berusia 27 tahun ketika akhirnya memperoleh kebebasan. Sepuluh tahun kehidupannya telah dirampas, manakala ibunya meninggal dunia tanpa sempat mengetahui bahawa anak yang dicarinya masih hidup. Keberanian Amanda mendapatkan pertolongan pada 6 Mei 2013 bukan sahaja menyelamatkan dirinya dan Jocelyn, malah menamatkan penderitaan dua wanita lain yang turut menjadi mangsa Ariel Castro.
Kes penculikan Cleveland ini kekal sebagai antara jenayah penculikan paling mengejutkan dalam sejarah Amerika Syarikat.
Ikuti Kronologi Kes untuk lebih banyak kisah jenayah dan misteri yang lebih gelap daripada fiksyen.
Sumber dan rujukan:
- CBS News / Associated Press: Kronologi penculikan, kehilangan tiga mangsa, penyelamatan dan hukuman terhadap Castro.
- Dokumen pendakwaan Cuyahoga County: Perincian bagaimana Amanda diculik serta tarikh kelahiran Jocelyn. mediaassets.news5cleveland.com
- ABC News: Kisah Amanda semasa dalam tahanan, kematian ibunya dan kehidupan selepas diselamatkan.
- The Guardian: Kejadian Amanda melarikan diri dan bantuan yang diterimanya daripada jiran.






